Thursday 9 March 2017

Solat hajat.

Jakim:
KENYATAAN MEDIA
YB MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

BERKENAAN

"MEMOHON KESELAMATAN DAN  KESEJAHTERAAN UNTUK  MALAYSIA"
__________________________________

1. Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada Malaysia yang sedang menghadapi ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara ekoran daripada penahanan 11 orang  rakyat Malaysia di sana.

2. Justeru, itu saya meminta semua Masjid-Masjid Utama Jakim iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta di semua masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat bermula pada 10 Mac 2017 ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai.

3. Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dan jasabaik pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh negara agar turut sama mengadakan  Solat Hajat disemua masjid di negeri masing-masing bermula pada tarikh berkenaan bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada Malaysia dan seluruh rakyatnya. Saya menyeru semua umat Islam di seluruh negara agar dapat beramai-ramai menunaikan Solat Hajat tersebut sejurus selepas Solat Jumaat.

4. Kita amat berharap agar konflik ini dapat diselesaikan dengan baik serta  rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat. Semoga usaha murni ini akan diberkati dan dirahmati Ilahi.

Sekian

YB MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ BAHAROM (B)
8 Mac 2017

"Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pertolongan-Mu, kami meminta ampun kepada-Mu, kami memohon petunjuk dari-Mu, kami beriman kepada-Mu, kami berserah kepada-Mu dan kami memuji-Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri-Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang derhaka kepada-Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersolat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat-Mu dan kami takut akan azab-Mu kerana azab-Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuhan, bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

No comments:

Post a Comment