Sunday 8 January 2017

Iddah.

*SYARIAT WANITA DLM IDDAH*

Syariat berkabung. Terdapat beberapa dalil daripada hadith Nabi SAW dlm kewajipan berkabung ini. Antaranya seperti berikut:

1. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari bermaksud: "Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari."

2. Hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, daripada Ummu `Atiyyah r.a., katanya yang bermaksud:
"Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni..."

3. Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Nasa’ie bermaksud: "Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat berkabung kerana kematian lebih daripada tiga hari, kecuali berkabung kerana kematian suami, mereka tidak boleh bercelak mata, tidak boleh berinai dan memakai pakaian berwarna-warni."

*Batasan Hukum Semasa Dalam Tempoh `Iddah Kematian Suami*

Bagi wanita yang ber`iddah kerana kematian suami, Islam telah menggariskan cara-cara tertentu sepanjangmereka berada dalam tempoh tersebut. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi wanita dalam tempoh iddah ialah:

a) Haram menerima pinangan lelaki lain.

b) Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

c) Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawatdan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

d) Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.

Wajib berkabung sepanjang tempoh `iddah.  Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan.

Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:

a) Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang.

b) Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata.

c) Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian.

d) Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.

4. Perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk hiasan tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya.

5. Justeru, walaupun wanita berkabung dilarang daripada berhias, ini tidak bermakna mereka perlu mengabaikan aspek kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga. Malah, mereka wajib menjaga kebersihandan kekemasan diri, pakaian dan tempat tinggal sepanjang tempoh `iddah dan berkabung itu.

Rujukan drpd laman web JAKIM.
Wallahu Ta'ala a'lam.

No comments:

Post a Comment